Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “.
Riwayat Ahmad
Huraian Pengajaran Hadith:
i) Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.
ii) Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan.
iii) Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.
iv) Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Munafik adalah orang-orang yang berpura-pura keimananannya yang mana pada luarannya lidahnya mengakui Keesaan Allah SWT dan Kerasulan Nabi Muhammad SAW tapi pada hakikat dalaman atau batinnya penuh dengan kekufuran dan kesesatan (sama ngan hipokrit). Mereka menentang kebenaran dengan kebatilan, menjual petunjuk dan membeli kesesatan, memilih kekufuran menolak iman, memilih bida'ah ganti daripada sunnah dan memilih azab daripada nikmat.
Munafik terbahagi 2 iaitu:
1) Munafik iktiqad iaitu pegangan terhadap pokok persoalan iman bersikap dan bersifat nifaq atau penipuan maka golongan ini kekal dalam neraka, sekiranya mati tanpa bertaubat kepada Allah SWT dan memperbetulkan semula iktiqadnya.
2) Munafik amali ialah amalan-amalan dalam ibadahnya bersifat nifaq atau penipuan seperti beramal kerana seseorang atau sesuatu selain dari Allah SWT. Golongan seperti ini perlu bertaubat kepada Allah SWT. Mereka akan dimasukkan ke syurga sesudah diazab di dalam neraka.
Ayat-ayat Al-Quran telah banyak menjelaskan tentang ciri-ciri munafik:
1) Berpenyakit Hati
Maksud firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke-10:
' Dalam hati mereka ada penyakit. Maka Allah tambahkan lagi penyakit itu, kepada mereka dan mereka akan mendapat seksa yang pedih dengan sebab mereka berdusta terhadap kebenaran'.
Maksud firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 64-65:
' Orang-orang munafik itu takut jika diturunkan kepada mereka satu surah yang memberitahu apa yang (tersembunyi) di hati mereka. Katakanlah kepada orang-orang munafik itu: "Ejeklah lagi! sesungguhnya Allah akan melahirkan apa yang kamu takutkan itu". Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu mereka menjawab: "Kami hanya bercakap-cakap dan bermain-main sahaja". Katakanlah " Adakah Allah dan keterangan-keteranganNya serta RasulNya mahu kamu perolok-olokkan?.."
Maksud firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 125:
' Dan adapun orang yang berpenyakit dalam hati mereka, (hanyalah) menambah kekotoran bersama kekotoran mereka (yang sedia ada) dan mereka mati dalam keadaan kufur. '
2) Melakukan kebinasaan di muka bumi
Maksud firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 11-12:
' Dan apabila diperkatakan kepada mereka itu, janganlah kamu membuat kebinasaan (kemungkaran) di muka bumi mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebajikan (untuk kepentingan manusia). Ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka ialah orang yang sebenar-benar membuat kebinasaan (kemungkaran) tetapi mereka tidak menyedarinya.'
3) Menuduh orang Mukmin dengan bodoh dan tolol
Maksud firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 13:
' Dan tatkala dikatakan kepada mereka, berimanlah kamu sebagaimana orang ramai beriman. Jawab mereka: "Adakah patut kami beriman sebagaimana telah beriman orang-orang bodoh dan tolol itu?" Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh dan tolol tetapi mereka tidak mengetahuinya.
4) Kuat permusuhan dan bongkak dengan dosa
Maksud firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 204-206:
' Dan di antara manusia itu, ada setengahnya yang menyebabkan engkau tertarik hati kepada percakapan mereka (yang lunak dan menarik) semasa hidup di dunia. Dan dia bersumpah (Dengan nama Allah bahawa segala yang diperkatakan itu adalah benar) kepada Allah akan apa yang di dalam hatinya sedangkan dia sebenarnya orang yang paling kuat permusuhannya terhadapmu. Dan apabila ia berpaling (apabila mendapat hajatnya) berusahalah dia di muka bumi Allah untuk melakukan kerosakan dan kebinasaan, dirosakkannya tanaman dan ternakan dan Allah tidak menyukai kerosakan dan kebinasaan itu. Dan apabila dikatakan kepadanya:" Bertakwalah kepada Allah". Maka timbullah kesombongannya dengan meneruskan melakukan dosa. Maka cukuplah Neraka Jahannam sebagai balasannya dan demi sesungguhnya Neraka Jahannam itu seburuk-buruk tempat balasan.'
